[KARMA, TIDAK ADA DALAM ISLAM !]
Perkataan Karma sering kali digunakan oleh masyarakat Muslim Melayu apabila berbicara tentang kemalangan atau sesuatu kecelakaan. Perkataan Karma yang sering digunakan oleh sebahagian orang kita adalah dengan membawa maksud kepada berlakunya sesuatu perkara buruk (balasan) ke atas individu.
Ramai dikalangan masyarakat kita yang masih tidak mengetahui bahawa konsep kepercayaan Karma ini adalah konsep kepercayaan agama. Ia tidak sama dengan konsep dosa dan pahala di dalam Islam. Karma lebih bersifat perbuatan yang disertakan dengan kepercayaan kelahiran semula (reinkarnasi) dan juga beberapa kepercayaan lain.
APA ITU KARMA
Karma berasal dari perkataan Sanskrit (istilah dalam Hindu) atau Kamma dari perkataan Pali (istilah dalam Buddha). Secara literalnya ia bermaksud perbuatan. Ia adalah kepercayaan berasal dari masyarakat India kuno yang mana mereka percaya hasil dari setiap perbuatan manusia itu pasti akan ada akibat atau balasan. Balasan dan akibat itu dikenali sebagai Vipaka.[1]
Karma atau Kamma di dalam agama Hindu dan Buddha adalah suatu perbuatan yang dapat membuahkan hasil (Vipaka), dimana perbuatan baik akan menghasilkan kebahagiaan dan sebaliknya perbuatan jahat juga akan menghasilkan penderitaan atau kesedihan bagi pembuatnya.
Semua perbuatan yang dilakukan atau disertai dengan keinginan atau kehendak berbuat sesuatu (cetana: niat) ia merupakan Karma. Kehendak dapat bermaksud berniat, keinginan, kemahuan, kesengajaan atau adannya rencana berbuat. Buddha berkata di dalam kitab Sutta Pitaka:
“Wahai Bhikkhu! Kehendak berbuat sesuatu (cetena: niat) itulah yang kami namakan Kamma.” (Anguttara Nikaya 3 : 415)
Perbuatan yang tidak mengandungi unsur kehendak atau niat dengan sendirinya tidak tergolong dari Karma yang dapat menimbulkan akibat atau hasil perbuatan.[2] Perbuatan terbahagi kepada dua:
1. Perbuatan baik: Dalam istilah Buddha disebut ‘Kusala-kamma’. Istilah Hindu disebut ‘Punya’
2. Perbuatan jahat: Dalam Istilah Buddha disebut ‘Akusala-kamma’. Istilah Hindu disebut ‘Papa’[3]
Di dalam Hindu dan Buddha, mereka percaya setiap perbuatan yang manusia lakukan di dunia ini akan terikat dengan hukum Karma ini. Yang mana hasil daripada karma ini akan memberi balasan kepada setiap perbuatan manusia itu. Sekiranya perbuatannya baik maka balasannya baik dan sebaliknya.[4]
Pembalasan terhadap karma itu bukan sahaja dibalas ketika hayat hidupnya seseorang, malah ia membawa kepada kehidupan seterusnya iaitu kelahiran semula (samsara: reinkarnasi). Oleh itu, konsep Karma inilah yang memberi penjelasan di dalam Hindu dan Buddha mengenai persoalan seperti mengapa dunia ini memiliki sengsara, penjelasan mengapa wujudnya manusia dilahirkan cacat, mengapa adanya orang dilahirkan senang dan ada dilahirkan keadaan susah, mengapa ada orang dilahirkan dengan ciri-ciri suci dan ada orang dilahirkan hidupnya kecenderungan jenayah? Dan lain-lain.
Menurut agama Buddha, ‘ketidaksamaan kelahiran’ ini adalah disebabkan bukan sahaja oleh keturunan, alam sekitar, atau alam semula jadi, tetapi disebabkan Karma. Dalam erti kata lain, ia adalah hasil tindakan masa lampau individu itu sendiri. Bagi mereka, setiap individu bertanggungjawab untuk kebahagiaan dan kesengsaraan diri mereka sendiri.
ISLAM & KONSEP KARMA
Di dalam Islam setiap muslim yang mukallaf akan terikat dengan dosa dan pahala. Konsep dosa dan pahala ini tidak sama dengan Karma, Papa dan Punya di dalam agama Hindu. Dosa dan pahala dalam Islam ini merupakan bentuk ganjaran yang diberikan Allah. Setiap perbuatan yang dilakukan beserta dengan niat akan diberikan ganjaran samada pahala atau dosa. Ia bersifat metafizik. Berdalilkan di dalam al Quran, yang bermaksud:
“Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami sebagai pembuat perhitungan” (Surah Al Anbiya’: 47)
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” (Surah al Zalzalah: 7-8)
Manusia itu apabila meninggal dunia, Allah akan kumpulkan semuanya di akhirat dan ditimbang setiap amalan (pahala dan dosa) samada mereka akan ke syurga atau nereka.
Berbeza dengan konsep Karma yang bersifat balasan ke atas perbuatan dengan hukuman dari sudut balasan fizikal dan mental samada ketika hayatnya atau kelahiran semula. Mereka perlu melakukan Karma atau perbuatan yang baik agar terlepas daripada kelahiran semula yakni lahir semula ke dunia dalam bentuk binatang atau manusia.[5] Selagi mana seseorang penganut Hindu atau Buddha itu gagal mencapai karma yang baik, selagi itu dia akan alami kelahiran semula sehinggalah mereka perlu mencapai Mokhsa atau Nibbana untuk menghentikan kitaran itu.
KIFARAH ITU BUKAN KARMA?
Di dalam Islam terdapat konsep Kifarah. Kifarah ialah denda atau tebusan untuk menghapuskan kesalahan kerana melakukan dosa. Samada ia berbentuk denda seperti membebaskan hamba, memberi makan kepada fakir miskin atau berpuasa untuk menebus kesalahannya. Kifarah juga boleh berlaku apabila seseorang itu diberi kesakitan dan musibah di atas ketetapan hatinya untuk meninggalkan maksiat atau dosa yang pernah dilakukan.
Begitu juga dengan sakit yang lain, Allah juga akan mengampunkan dosanya di atas kesabaran seseorang hambanya yang ditimpa kesakitan dan musibah. Disebut di dalam sebuah hadis shahih yang bermaksud:
”Tidaklah daripada seorang Muslim yang tercucuk duri hingga apa-apa yang lebih berat daripadanya, kecuali dicatat baginya darjat dan dihapus daripadanya dengan hal itu kesalahan (Shahih Muslim: no 2572).
Kesakitan dan musibah yang disusuli dengan sabar, Allah akan menghapuskan dosa-dosanya. Dan tidak diketahui dosa mana yang dihapuskan. Ia tidak sama dengan karma:
1) Karma sepenuhnya perlu dibalas dengan perbuatan baik sehingga mencapai Mokhsa, manakala kifarah adalah penghapusan sebahagian dosa yang disusuli dengan musibah.
2) Karma adalah doktrin yang terikat dengan kelahiran semula (reinkarnasi) manakala kifarah tidak terikat dengan fahaman reinkarnasi.
3) Karma adalah perkara mutlak yang perlu dilakukan. Kifarah adalah balasan yang Allah berikan kepada mana-mana hambanya.
Kesimpulan
Oleh itu jelas bahawa konsep kifarah dosa di dalam Islam berbeza dengan konsep Karma. Di dalam Islam tiada istilah kelahiran semula ke dunia (reinkarnasi), manusia yang diciptakan Allah hanya hidup sekali sahaja di dunia ini dan hanya dibangkitkan di akhirat bagi Allah menghitung dan membalas amal perbuatan mereka semasa hidup di dunia ini samada masuk neraka atau ke syurga. Oleh itu jelas hukum Karma itu sangat tidak bertepatan dengan mana-mana konsep di dalam Islam samada konsep balasan dosa, pahala atau kifarah.
Oleh itu, umat Islam haruslah peka terhadap penggunaan perkataan ini kerana ia adalah jelas merupakan doktrin di dalam agama Hindu dan Buddha. Doktrin ini tidak sama dengan apa yang diajarkan oleh Islam. Untuk memahami falsafah Karma di dalam Hindu dan Buddha boleh dibaca kajian akademik yang ditulis oleh Dr. Muhammad Mihlar Abdul Mutalib dalam kitab “Falsifati Karma al Hindusiyyah wa Mauqif al Islam Minha” terbitan USIM.
Wallahua’lam
Nota kaki:
[1] Lihat Buddhasa Bhikhu, (2017). Kamma In Buddhism, Nalanda Buddhist Society, Selangor, hlm 4
[2] Lihat Narada, (1988). The Buddha and His Teachings, Buddhist Missionary Society Malaysia, Kuala Lumpur, hlm 352-353
[3] Muhammad Mihlar Abdul Mutalib, (2016). فلسفة الكارما الهندوسية وموقف الإسلام منها, Penerbit USIM, Nilai, Negeri Sembilan, hlm 23
[4] Lihat Rasamandala Das, (-). The Illustrated Encylopedia of Hinduism, Lorenz Books, hlm 72-73
[5] Lihat Narada, (1988). The Buddha and His Teachings, Buddhist Missionary Society Malaysia, Kuala Lumpur, hlm 352-353/ Lihat Jeffrey Armstrong, (2007). Karma: The Ancient of Cause and Effect, Mandala Wisdom Library, California 34-35
R&D TEAM MRM
Search
samsara hinduism 在 Buddhist vs Hindu Samsara - YouTube 的推薦與評價
... <看更多>