Wawancara Jejak Anak Kampung Menjadi Warga Global - Siri Ke 4
Mohd Danial Madani (MDM)
Secara jujurnya, kami sangat teruja dengan jawapan Datuk untuk sesi wawancara ketiga lepas di mana bagitu penting dan besar peranan Datuk dalam dunia kewangan Islam dan Penasihat Syariah. Sehubungan dengan itu, saya ingin bertanya selain dari sibuk bekerja menjalankan tanggungjawab, apakah Datuk boleh kongsikan hobi dan aktiviti sukan Datuk di masa lapang?
Datuk Dr Mohd Daud Bakar (MDB)
Bersukan dan berhobi adalah satu aktiviti yang menarik. Ramai orang memberi masa dan wang untuk bersukan dan berhobi. Ia adalah aktiviti yang sihat tapi biarlah berpatutan.
Di zaman kanak-kanak, saya terlibat dalam semua jenis sukan dan hobi termasuklah yang berisiko tinggi. Itulah naluri seorang kanak-kanak pada masa tersebut. Kanak-kanak sekarang mungkin sudah berbeza. Guli, gasing, 'bulu ayam', baling tin, permainan ala 'combat' dengan senapang kayu buatan sendiri, badminton dengan menggunakan jaring dibuat dari tali, sepak takraw, hoki menggunakan kayu hoki buatan sendiri, bola sepak sehinggalah aktiviti membuat meriam buluh menjelang hari raya Aidil Fitri dan juga membuat benang wau bersalut kaca mentol yang ditumbuk halus untuk permainan lawan wau selepas musim menunai padi di Alor Star adalah rutin dalam kehidupan kanak-kanak saya. Dua aktiviti terakhir perlu dijauhi kerana berisiko tinggi.
Saya selalu merasai berada di puncak dunia apabila dapat bermain semua ini. Puas dan menyeronokkan sebagai anak kampung. Semuanya semakin berakhir apabila saya masuk sekolah menengah iaitu Maktab Mahmud. Usia remaja perlukan sukan dan hobi baru. Sebelum itu, sewaktu saya bersekolah rendah, saya banyak baca buku novel penyiasatan kanak-kanak ala Sherlock Homes. Sampai sekarang saya rasa buku-buku sebagini dapat membantu memahami perangai dan motif manusia dalam kehidupan dan bisnes. Sherlock Homes memang hebat. Dalam setiap tindakan dan perbuatan atau kenyataan manusia pasti ada motifnya. Bila tahu motif, hilanglah rasa ketakjuban (pepatah bahasa Arab).
Secara umumnya, saya tidaklah menonjol dalam apa-apa aktiviti sukan di peringkat umur 7-18 tahun. Sekadar bersukan. Rasa 'cemburu' juga melihat rakan-rakan sebaya yang hebat dalam pencapaian sukan mereka. Nampak mudah dan bersahaja cara mereka melakukannya. Itulah skil orang yang berjaya dan hebat. Bagi mereka ini semua adalah mudah tetapi untuk orang di sekeliling mereka, ia adalah sesuatu yang payah dan di luar kemampuan. Tidak semua boleh menjadi Eric Contana atau Kenny Daglish atau Lionel Messi atau pun dalam konteks Malaysia Dato' Misbun, Razif, Jalilani dan Rashid (Sidek) atau Datuk Nicol David dan Datuk Lee Chong Wei.
Di Maktab Mahmud, saya hanya mendapat sedikit kejayaan dalam acara baling lembing jarak jauh. Saya tercicir dalam semua acara olahraga dan bola sepak walaupun saya minat sangat sukan bola sepak. Saya tidak perasan langsung bahawa Allah memberi kelebihan kepada tangan kanan saya. Itulah diri kita. Kita jarang mencari titik-titik kekuatan dalam diri kita sendiri. Kita hanya melihat dan mengeluh kelemahan diri sendiri dan kelebihan dan kekuatan orang lain tanpa menerokai di mana kekuatan diri sendiri. Pasti ada kelebihan yang Allah anugerah kepada kita. Apakah mesej di sini? Nanti saya terangkan sekejap lagi.
Di Kolej Islam Klang (KIK), saya cuba nasib untuk mewakili sekolah dalam sukan hoki tapi gagal dalam tahap penyaringan terakhir juga dalam latihan jalan itik. Nampak mudah itik berjalan tetapi saya tak boleh buat lebih dari 5 minit. Saya 'menyesal' kerana tidak pernah terfikir untuk mencuba aktiviti-aktiviti sukan yang fokus hanya kepada tangan seperti bola tampar dan badminton. Namun, tak perlu menyesal. Kadang-kadang kita perlu gagal dahulu sebelum berjaya. Kegagalan adalah sebahagian dari kejayaan. Akio Morito, pengasas Sony, mencipta periuk nasi elektrik yang memasak nasi hingga hangit sebelum beliau mencipta Sony.
Di KIK, saya banyak bersukan melalui sepaktakraw dan badminton. Skil saya sudah meningkat dengan baik kerana sudah jumpa sesuatu yang serasi dengan saya tapi saya tak fokus sangat kerana saya masih jadi 'ulat buku'. Fokus utama pada masa itu ialah kecermelangan dalam peperiksaan. Tekanan kemiskinan dan cabaran iklim belajar di KIK selalu membisik di telinga saya supaya "give all out". Displin belajar di KIK adalah DNA saya yang baru. Sukan belum lagi sebati dengan saya. Infusi (infusion) belum berlaku.
Hobi saya di KIK ialah mengajar bahasa Arab kepada ramai adik-adik junior dan juga aktiviti pengakap. Saya menjadi pimpinan no 2 dalam kelab bahasa Arab dan persatuan pengakap. Skil untuk survival dalam hutan melalui ilmu pengakap adalah yang paling mahal.
Aktiviti sukan saya telah berubah 360 darjah apabila saya menjejak kaki di Kuwait. Pelik tapi benar. Saya mulai berjinak-jinak dengan aktiviti sukan ping-pong yang ada dalam kawasan asrama dengan rakan-rakan. Saya mulai dari 'ground zero'. Lama kelamaan saya sudah cekap dan handal dan menjadi pemain terbaik dalam kalangan pelajar Asia. Saya juga menjadi johan di Fakulti Syariah dan mewakili Fakulti ke kejohanan peringkat Universiti Kuwait. Satu pencapaian yang dapat dibanggakan kerana bermula dari sifar. Namun, di peringkat universiti, saya kecundang di tahap suku akhir di tangan pemain yang mewakili negara Kuwait di peringkat antrabangsa. Bola putarannya waktu 'servis' (swing) amat mengelirukan dan menguja. Beliau adalah seorang profesional dan saya hanya seorang pemain secara hobi.
Bagitulah juga dalam profesion dan kerjaya kita. Sekianya kita fokus dengan latihan bertubi-tubi, kita akan sebati dengan apa sahaja yang diperlukan untuk berjaya. Semua orang yang berjaya pasti akan melalui jalan ini. Tidak ada jalan pintas dan tongkat sakti. Sesungguhnya orang yang berjaya dengan tongkat sakti belum lagi berjaya malah belum lagi berada di permulaan jalan kejayaan. Mereka hanya merosakkan warna dan wajah profil kejayaan yang sebenar.
Hobi saya di Kuwait ialah untuk mendengar kuliah-kuliah yang hebat dari tokok-tokoh yang hebat di seluruh masjid dan dewan kuliah serta diwaniyah di Kuwait. Di hujung minggu pula, saya suka mencari ketam di pantai dan juga menghadiri mukhayyam atau perkemahan di padang pasir. Pengalaman yang manis walapun susah bermalam di tengah-tengah padang pasir yang tidak ada sebarang kemudahan untuk beberapa hari.
Aktiviti sukan saya menjadi lebih menarik sewaktu saya berada di UK untuk pengajian Ph.D. Sukan badminton dan tenis menjadi pilihan. Sekali lagi, aktiviti sukan menggunakan tangan adalah fokus aktiviti bersukan saya. Cuaca dan iklim di UK pula adalah cukup kondusif. Saya dapat bermain dengan baik sehinggalah sekarang walaupun daya stamina sudah merosot disebabkan faktor usia. Saya pernah menjadi johan badminton acara beregu di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di Dundee dan St Andrews dalam tahun 1992.
Buat masa sekarang, saya tidak boleh lagi melakukan aktiviti sukan yang lasak seperti badminton dan tenis. Ping-pong masih menjadi pilihan. Saya juga dan pandai bermain bowling tapi hanya bersama keluarga dan rakan-rakan sahaja. Berapa kerap? Kurang lebih 4-5 kali setahun. Tapi skill bowling saya amat luarbiasa. Saya percaya saya boleh menjadi pemain negara kalau ada latihan yang tersusun. Anda mungkin tersenyum sekarang. Dari riak wajah anda, anda kurang percaya. "Fair enough". Kalau anda tak percaya, kita boleh tetapkan masa dan tempat untuk bermain bowling. Ini hanya gurauan sahaja walaupun ada sedikit kebenaran sebab fokus bersukan saya sekarang adalah untuk kesihatan dan sedikit hiburan bersama keluarga dan rakan-rakan.
Amalan sukan saya sekarang dalam usia awal 50an adalah berjalan di waktu pagi selama 45-60 minit atau berjalan atas trek di gym selama 30 minit dengan kadar kelajuan 5 km satu jam dan berbasikal selama 15 minit dengan kadar kelajuan 10km satu jam. Saya amat gembira kalau dapat peluang sebagini setiap hari. Di setengah ibu kota dunia seperti London dan Munich atau Luxembourg yang mempunyai taman atau hutan simpanan yang besar dan berusia lebih dari 500 tahun, saya cuba mencari masa untuk berjalan 2 kali sehari. Seronok dan nyaman sekali.
Bagaimana pula dengan hobi saya? Tak banyak hobi yang dapat dilakukan dengan konsisten disebabkan kesuntukan masa. Di masa zaman kanak-kanak dan remaja antara umur 10-18 tahun, saya suka memancing sehingga sepanjang malam. Hobi ini dah mati sekarang. Mustahil. Masa amat terhad. Saya terpaksa bertarung dengan diri sendiri untuk membahagikan masa untuk semua orang dan perkara. Semuanya penting dan kritikal untuk diri, keluarga, kerjaya dan masyarakat samada di Malaysia atau di luar negara. Semuanya mahu sebahagian masa saya.
Hobi yang masih ada adalah memasak. Saya suka mengambil resepi baru yang mudah bila saya berjalan di seluruh pelusuk dunia. Semua masakan saya ala-antarabangsa. Saya akan mencuba resepi masakan ini untuk keluarga dan kemudian rakan-rakan yang rapat sahaja. Maaf kepada yang lain. Tidak rezeki anda.
Hobi terbaru adalah menulis buku dan juga menulis ucapan saya sendiri. Mungkin boleh dicetak di masa hadapan. Saya juga suka membaca buku-buku novel dan majalah yang padat dengan ilmu seperti novel-novel karya John Grisham iaitu pengkisahan amalan undang-undang dalam dunia sebenar dan juga majalah National Geographic. Kedua-dua buku dan majalah ini menjadi bahan bacaan saya secara serius dan konsisten. Saya sedang mengumpul semua koleksi National Geographic dalam segala lapangan ilmu seperti sains, ekologi, angkasa lepas, arkelogi, haiwan dan serangga dan lain-lain lagi.
Bagi saya, tanda-tanda kebesaran Allah SWT yang kekal selama-lamanya adalah al-Quran dan juga eko-sistem alam ini. Bacaan utama Muslim adalah al-Quran dan juga alam sejagat ciptaan Allah (afaq). Bacaan sebegini menjadikan saya dapat melihat Syariah dan dunia dalam perspektif yang simbosis dan infusi (sepadu dan sebati). Minda Syariah saya adalah Shariah itu adalah kehidupan dan bukan sebahagian dari kehidupan.
Di samping membaca, hobi 'gila' saya sekarang ialah menulis. Saya ingin menulis dalam apa sahaja bidang dan tema kalau saya mampu. Saya suka menulis tak kira masa dan tempat. Semoga Allah memberkati aktiviti sukan dan hobi kita.
(Foto-foto di bawah adalah gambar hiasan tetapi real mengambarkan aktiviti berjalan saya waktu pagi di Bahrain semalam dari 6-7 pagi. Satu jam yang menyihatkan dan menyeronokkan).
Search