Wawancara Jejak Anak Kampung Menjadi Warga Global..Siri ke 9
Mohd Danial Madani (MDM)
Bukan semua orang mampu untuk menjelajah dunia mahupun hanya menaiki kapal terbang untuk ke luar negara. Justeru atas peluang ini, bolehkah Datuk berkongsi dengan pembaca faedah yang Datuk telah pelajari sepanjang pengalaman Datuk dalam sesi penerbangan menjelajah dunia hampir setiap sepuluh hari dalam diari Datuk pada setiap bulan.
Datuk Dr Mohd Daud Bakar (MDB)
Saya amat bertuah kerana dapat berada di banyak negara dan geografi di dunia ini. Ini baru alam dunia. Belum lagi alam akhirat yang tiada penghujungnya. Dahulunya, saya hairan apabila Allah memuji orang yang mengembara "al-sahi'in" sebagai mereka yang Allah telah membeli jiwa dan harta mereka (Surah al-Taubah). Sekarang, saya benar-benar nampak kelebihan mengembara dan melihat negeri orang.
Memang penat mengembara tapi kalau dah terbiasa ianya menjadi satu aktiviti yang sihat. Purata saya mengembara adalahberada di negara asing hampir setiap minggu dalam setahun iaitu lebih kurang 60 ibu kota dunia setiap tahun sejak beberap tahun yang lepas. Kadang-kadang, dalam satu minggu, saya berada di empat atau lima negara. Mingu hadapan saya akan berada di lapan ibukota dunia dalam masa 20 hari. Yang paling singkat ialah di Beijing iaitu hanya selama 15 jam. Saya dijangka tiba pukul 4 pagi dan meninggalkan Beijing sebelah malam pada hari yang sama.
Apa hebat sangat dengan perjalanan antarabangsa? Pepatah Melayu ada menyebut 'jauh perjalanan luas pemandangan'. Pemandangan di sini bukanlah penglihatan mata kasar pada hemat saya. Ia adalah pemandangan mata dan minda. Minda kita akan terangsang apabila melihat dan mengetahui sesuatu yang baru. Rangsangan minda ini akan menjadikan kita sentiasa berfikir dan meniliti banyak aspek dalam pengembaraan.
Walaupun kita tidak buat apa-apa dalam pengembaraan, sebaik sahaja kita menjejak kaki di bumi asing, ilmu dan perspektif kehidupan yang baru menerjah kotak minda kita. Di antara resepi kejayaan kesarjanaan dalam kata-kata hikmah ( kalau tak salah kata-kata al-Maqdisi) ialah "masa belajar yang lama, melazimi guru dan mengembara jauh". Mengembara dan berjauhan dengan keluarga adalah pintu kelimuan dan mungkin pintu hikmah juga.
Saya bukan sahaja terbang di seluruh dunia, tapi pernah juga bersama keluarga tinggal di Dubai selama 2 tahun dan kemudiannya di Sydney selama setahun. Pengalaman hidup di negara orang adalah satu episod kehidupan yang cukup merangsangkan bukan sahaja kepada saya tapi juga keluarga. Susah payah kami lalui bersama. Cara hidup amat jelas berbeza antara kehidupan keluarga di Malaysia dan luar negara khususnya Dubai dan Australia. Memang lebih berkualiti kehidupan di luar negara.
Saya banyak memerhati, belajar dan mengambil inspirasi dan juga pengajaran sepanjang perjalanan saya. Saya melihat seluruh eko-sistem perjalanan saya dari segi pengurusan lapangan terbang, urusan check-in, imigresen dan kastam, perkhidmatan atas kapal terbang, pengangkutan atas darat, hotel, pelanggan dan stakeholders saya di serata dunia. Setiap satu aspek ini boleh ada ceritanya sendiri. Baik dan buruk. Misalanya, di lapangan terbang KLIA, tempat menunggu teksi adalah di luar bangunan kapal terbang dalam suasana cuaca yang panas dan asap kenderaan. Tidak menarik langsung khususnya kepada tetamu luar negara.
Di banyak lapangan terbang dunia lain, tempat menunggu adalah di dalam bangunan lapangan terbang. Memang tempat menunggu ini adalah grand design' lapangan terbang bukan difikirkan setelah siap lapangan terbang. Design lapangan terbang perlu penuh dengan aspek kemanusian sebab lapangan terbang adalah pintu masuk negara. Sebagai seorang pengembara dan pejalan tegar, saya terasa teruja kalau saya dialu-alukan di lapangan terbang. Itulah sifat manusia. Di setengah lapangan terbang, saya terasa disambut sebagai tetamu istemewa. Agenda 'humanising' perlu ada dalam kehidupan kita walau pun dalam bidang agama dan Syariah sekalipun.
Pengalaman paling mengancam apabila kapal terbang saya tidak dibenarkan untuk melalui ruang angkasa benua India dan terpaksa mencari alternatif lain tetapi mempunyai kekangan minyak pesawat. Dapat kebenaran untuk mendarat di Colombo tetapi disebabkan ini adalah pendaratan yang tidak berjadual, kami terpaksa berada dalam pesawat selama 12 jam di lapangan terbang tanpa makanan. Ramai orang meradang dan hilang kesabaran. Bagi saya, tidak guna marah-marah. Apa yang kita dapat kalau kita lepaskan suhu panas kita? Tiada apa pun faedah.
Saya mempunyai banyak masa untuk membaca semua majalah atas kapal terbang. Habis semua saya baca. Rasa terisi dan puas sebab dapat melihat dunia dengan jelas dan berdata. Times. Economist. Readers Digest. National Geographic. Semuanya saya baca..setiap muka surat. Inilah detik saya 'jatuh hati' dengan National Geographic. Ia adalah majalah idaman saya. Bila detik ini? 2005. Satu hari nanti kalau boleh saya ingin mempunyai satu majalah sebaik dan setanding National Geographic.
Dalam perjalanan di persada antarabangsa, kita senang berjumpa kenalan baru samada di atas kapal terbang atau di 'lounge' menunggu. Sebahagian mereka kemudiannya menjadi pelanggan kepada syarikat saya Amanie Advisors. Di lapangan terbang Heathrow, saya melihat pegawai yang menguruskan urusan boarding sedang membaca novel karangan John Grisham dan saya terus menegur beliau bahawa "John Grisham is my favourite writer". Dia terus menghadiahkan buku yang dia sedang baca. Menariknya, buku tebal beliau itu ada tiga judul karangan John Grisham yang digabungkan sekali. Itulah suasana yang sepatutnya kita ada bila kita kepenatan. Kena sentiasa ceria dan positif. Perjalanan jauh adalah "cebisan api neraka" - mengikut Hadis Nabi SAW - kerana kesusahan dan keperitannya yang tidak dapat dijangka.
Berjalan seorang diri di negara asing adalah cukup menakutkan. Ia menjadikan saya seorang yang sentiasa berhati-hati dalam semua hal. Selalunya, dalam satu-satu masa, saya ada plan A dan juga plan B dan kadang-kadang plan C. Ramai di kalangan kita yang hanya ada plan A. Dalam dunia ini, ini tidak mencukupi. Siapakah guru dan mentor saya dalam hal ini? Siri penerbangan saya yang kerap adalah guru vokasional saya. Belajar dari pengalaman. Dalam konteks ini, keramalan atau 'predictability' adalah musuh pertama. Macam-macam boleh berlaku bila anda mengembara jauh. Apa yang anda ramal dalam perjalanan anda mungkin tak akan berlaku. Bagitulah juga dalam kehidupan kita. Kita kena bersedia dengan pelbagai rancangan dan jaring-jaring keselamatan.
Yang paling ketara ialah pembinaan perspektif dalaman saya. Saya sudah ada daya untuk membuat perbandingan dalam banyak hal - kemanusian, sikap orang sekeliling, prasarana dan sistem pengurusan, budaya dan adat, kemajuan ataupun kemunduran, titik-titik kekuatan atau kelemahan dan banyak lagi. Satu hari nanti saya boleh menulis tentang travelog saya dalam satu buku. Kadang-kadang saya rasa saya agak sihat - Alhamdulillah - sebab saya banyak dan kerap mengembara. Semoga Allah SWT mengekalkan kesihatan saya. Imam al-Shafi'i menyifatkan orang yang banyak mengembara sebagai sebagai "air yang mengalir" iaitu air yang bersih dan tidak kotor. Tidak hairan kalau al-Quran memuji orang yang sifatnya 'mengembara dan melancong'.
Saya sentiasa menunggu masa untuk terbang di paras 40,000 kaki dari aras laut kerana itulah masa premium dan terbaik untuk membaca dan menulis. Di atas darat, masa saya menjadi terlalu suntuk dengan kesebukan rutin. Masa penerbangan adalah sahabat baik saya.
* Foto-foto di bawah adalah foto hiasan sahaja...foto di Almaty dan di rumah rakan kongsi saya di Astana, Kazakhtan dan juga foto atas kapal terbang.
Search