‘Awak ni kasar sangat, cuba contohi fulan si fulan’
.
Kita sebagai manusia mungkin mempunyai kecenderungan dan kesukaan kita yang tersendiri. Secara peribadi, selagi kecenderungan dan kesukaan kita tidak bercanggah dengan Quran & Sunnah, maka bismillah sahaja.
.
Namun jangan pula kita jadikan kecenderungan & kesukaan kita sebagai kayu pengukur mutlak akan perkara atau individu lain yang jiwa kita tidak cenderung atau suka. Suka saya kongsikan contoh;
.
Saya suka makan char kuey teow dan bagi masyarakat Melayu, char kuey teow adalah kue teow goreng basah manakala kuey teow goreng pula kering. Namun char kuey teow ala Cina ada yang rasanya lain-lain.
.
Bila saya makan char kuey teow di tempat berlainan, saya tidak membanding-bandingkan char kuey teow kerana cara masakan berlainan tetapi selagi ianya halal, Bismillah. Kalau saya rasa tak sedap & sedap itu pula subjektif, maka saya tak makan char kuey teow di tempat itu tetapi mungkin di kedai itu ada masakan lain yang saya suka.
.
Dewasa ini pula, ramai di kalangan masyarakat suka membanding-bandingkan asatizah & pendakwah dengan ayat seperti;
.
‘Awak ni kasar sangat, cuba contohi fulan si fulan’
.
‘Dakwah ni kena lemah lembut tak boleh garang sangat. Saya lebih suka fulan si fulan’
.
‘Awak ni memecahbelahkan masyarakatlah. Lihat pendekatan fulan si fulan. Semua orang suka.’
.
‘Dakwah awak ni buat orang bukan Islam marah & jauh dari Islam. Kan lebih baik awak ikut cara fulan si fulan yang lemah lembut & orang bukan Islam pun suka kepada dia.’
.
Sebagaimana saya nyatakan, tiada masalah untuk kita mempunyai kecenderungan & kesukaan namun jangan jadikan ianya sebagai kayu pengukur mutlak kebenaran kerana sebagai Muslim kayu pengukur kebenaran mutlak itu hanyalah Quran & Sunnah bukannya kita dan mana-mana individu.
.
Hanya seorang individu yang layak dijadikan contoh andai kita mahu melakukan perbandingan iaitu tidak lain tidak bukan Muhammad Ibn Abdullah Sallalahu Alaihi Wasalam! Baginda terkenal dengan sifat lemah lembutnya tetapi Baginda juga tegas dan berperang.
.
Baginda Sallalahu Alaihi Wasalam juga mempunyai sahabat Radiyallahuanhum yang mempunyai karektor yang berbeza namun tidak sesekali Baginda Sallalahu Alaihi Wasalam membanding-bandingkan cara & pendekatan setiap mereka melainkan ianya melampaui batasan Quran & Sunnah.
.
Ya Abu Bakar terkenal dengan sifat lembutnya tetapi dia juga memerangi golongan yang enggan membayar zakat! Cara Abu Bakar berbeza dengan Umar Ibn Khattab yang andai kita baca dalam Sirah, barangkali kita akan kata Umar kasar walaupun sebenarnya Umar cuma tegas.
.
Tiada sahabat yang ketika berhijrah ke Madinah berani berhijrah secara terang-terangan dan memberitahu musyrikin Makkah sebagaiman Umar berkata;
.
“Barangsiapa yang mahu isterinya menjadi balu, anaknya menjadi yatim dan ibubapanya kehilangan anak, jumpa aku di sebalik bukit itu pada waktu sekian sekian kerana aku akan pergi ke Yathrib (nama lama Madinah).”
.
Kerana ketegasan Umar maka pada zamannya Islam berkembang dengan pesat. Lain pula karektor Uthman Ibn Affan & Ali Ibn Abi Talib. Khalid Ibn Walid dikenali dengan ‘Saifullah’ (Pedang Allah) kerana kehebatannya di medan pertempuran tetapi Hassan Ibn Tsabit bukan sahaja tidak diwajibkan ke medan perang, malahan dia tidak boleh memegang senjata & akan pitam melihat darah.
.
Namun Hassan Ibn Tsabit dikenali sebagai ‘penyair rasmi’ Nabi Sallalahu Alaihi Wasalam di mana dia menggunakan bakatnya dalam syair dalam mempertahankan Islam & Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wasalam.
.
Nasihat saya, tidak perlulah membanding-bandingkan kerana dakwah itu berbentuk dinamik. Andai kita masih mahu melakukan perbandingan, maka bandingkan dengan Nabi Sallalahu Alaihi Wasalam & para sahabat Radiyallahuanhum bukannya dengan mana-mana manusia yang tidak terjamin kebaikannya oleh Allah & RasulNya di dalam Quran & Sunnah.
.
Semoga Allah kurniakan kebaikan buat kita semua & Allah gunakan kita untuk agamaNya. Allahuma Ameen.
Search