UCAPAN AIDILFITRI 1438 NURUL IZZAH ANWAR
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
wa lillahil hamd.
Sewaktu kita bergembira menyambut Aidilfitri, mari kita insafi diri dan bersederhana ketika merenung nasib yang menimpa serta cabaran yang dihadapi rakyat serta umat Islam seluruh dunia.
Kesemua dugaan ini merupakan suatu hikmah demi menyedarkan dan mematangkan kita untuk segera menghayati Al-Quran dengan tema-temanya yang besar seperti keadilan, ihsan, kasih sayang di antara sesama makhluk Allah.
Sheikh Rasyid Ridha, seorang ulama besar dan mujaddid Islam yang tidak asing lagi, sangat menekankan keadilan dalam pemikirannya.
Sheikh Ridha berkata:“Tak ada kebenaran yang lebih besar daripada keadilan dan tak ada kesalahan yang lebih buruk daripada tirani.”
Berlaku adil adalah perintah Allah. Maka, pelanggaran terhadapnya akan dikenakan hukuman oleh Allah sebagaimana hukuman yang diberikan Allah kepada orang yang melalaikan solat.
Atas sebab ini saya mewakafkan diri saya untuk terus berjuang demi kebajikan dan masa depan Malaysia yang lebih baik.
Pada Hari Raya ini kita meraikan kemenangan di atas ujian yang Allah kenakan kepada kita, dan kita berjaya.
Beginilah tarbiyah Ramadhan yang mengilhamkan kepada kita bahawa kita tidak akan kalah jika berjuang!
Semangat yang sama saya bawa pada hari ini, sejak penglibatan bersama teman-teman seangkatan di dalam dunia aktivisme sejak 1998 hingga sekarang.
Sejumlah 19 kali lebaran, peringatan ini lah yang saya pegang setiap kali Syawal tiba, untuk meraikan kemenangan. Ya, bagi saya kemenangan sebenar kita yang tertunda. Perjuangan ini belum selesai.
Langit berdecak kagum
mendengar alunan suara takbir
menandai kemenangan
ikhlas perjuangan
Perjuangan yang penuh fitrah.
Tanah bersubur mekar
menyambut tautan rindu kasih
meraikan kemaafan
luhur permintaan
Kebahagiaan yang tiada tara.
minal 'aidin wal faizin.
Salam Aidil Fitri, Salam Reformasi!
menjunjung maaf zahir batin sepuluh jari.
Search